Mila AF Buang Stok Produk, Bisnes Tak Menjadi


PETALING JAYA: Penyanyi Mila Jirin mendedahkan dia pernah berasa putus asa dan kecewa dalam bidang perniagaan kosmetik yang diceburinya iaitu Luv Mila sekitar tahun 2008.

Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmilla binti Jirin, 27, berkata, dia terpaksa membuang semua stok produk kosmetik tersebut kerana gagal untuk dijual. 

"Produk kosmetik Luv Mila tidak menjadi kerana kekurangan modal untuk iklan dan kami terpaksa menghentikan operasi dan keluar daripada pejabat operasi kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

"Saya tidak mahu tengok langsung produk tersebut dan mengarahkan pekerja saya membuang semua stok produk yang ada," katanya kepada mStar Online.

Tambah Mila, disebabkan perkara itu juga dia melupakan minatnya dalam bidang perniagaan selama setahun sebelum kembali semula dengan membuka sebuah syarikat pengurusan majlis.

Dalam pada itu, penyanyi ini turut mengusahakan restoran Embun Urai yang terletak di Taman Tasik Prima Puchong yang kini baharu sahaja melancarkan cawangan kedua di lokasi yang sama.

"Kegagalan lalu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus mencuba dalam bidang pengurusan majlis dan membuka restoran untuk makan malam dan tengah hari.

"Cawangan kedua restoran Embun Urai baru sahaja dibuka berhampiran dengan restoran pertama tetapi hidangan lebih fokus untuk sarapan dan makan tengahari sahaja dan waktu operasi pada pukul 7 pagi hingga 7 malam," katanya.

Sementara itu, Mila berkata, dia kini dalam proses untuk membuka sebuah lagi perniagaan perancang perkahwinan iaitu Bizmila Wedding and Catering dalam masa terdekat.

Katanya, buat masa ini dia menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya utama berbanding nyanyian.

"Saya fokus dahulu kepada semua perniagaan berbanding nyanyian, lagi pun sekarang sibuk uruskan perniagaan Bizmila Wedding and Catering.

"Tapi saya masih lagi aktif memenuhi undangan nyanyian jika ada kelapangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mila yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music bakal keluar dengan single baharu berjudul Boneka dan Hampir Jauh duet bersama Nubhan.-star

0 Response to "Mila AF Buang Stok Produk, Bisnes Tak Menjadi"

Post a Comment