Mak Mah Seminggu Bernikah Kongsi Rahsia Bahagia

Mak Mah bersama suami dalam majlis kahwin

PETALING JAYA: Selepas kira-kira seminggu bergelar isteri, pelakon veteran Ruminah Sidek atau nama panggilan yang sinonim denganya Mak Mah mengakui dirinya berasa cukup bahagia di samping suaminya, seorang peneroka Felda dari Jelai Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70. 

Mak Mah, 68, berkata, walaupun pada mulanya dia berasa kekok memandangkan sudah 41 tahun menjanda, dia mula serasi dengan kehidupan sebagai sepasang suami-isteri.

"Susah nak cakap sebenarnya. Apa yang saya boleh katakan, hati saya sedang berbunga-bunga. Kalau boleh mana-mana pergi kami mesti mahu bersama.

"Maklumlah, sekarang ini saya sudah ada peneman dah tak macam dulu. Rasa kekosongan itu terisi," katanya kepada mStar Online.

Tambah Ruminah, kedua-dua mereka saling tidak mahu berenggang, namun terpaksa akur kerana masing-masing mempunyai kerja yang perlu dilunaskan.

Ditanya apakah rutin wajib dibuat setiap hari, Ruminah berkata dia akan memastikan minuman kegemaran suaminya itu akan dihidang mengikut masa-masa tertentu.

"Saya seorang yang tidak minum minuman yang bersusu selain jus buah. Tetapi berbeza pula dengan suami, ada masa dia mahukan teh dan kadang kala kopi.

”Jadi saya pun perlu belajar bancuh minuman kegemarannya untuk dihidangkan setiap hari. Alhamdulillah, suami saya tidak cerewet," ujarnya lagi.

Ruminah selamat bergelar isteri Al Fatah dalam satu majlis yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu, di Meru, Klang pada 17 Mei lalu.

Perkahwinan ini merupakan yang kelima buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham pelakon AR Tompel.

Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie.

Dia juga mempunyai 20 cucu dan enam cicit. Manakala Fatah pula mempunyai 10 orang anak,semoga mereka berbahagia sepanjang hayat hidupnya.

0 Response to "Mak Mah Seminggu Bernikah Kongsi Rahsia Bahagia"

Post a Comment