Remaja Perempuan curi kalung Bertatah Berlian RM16.7j Di buru

HONG KONG – Polis China pada Jumaat melancarkan gerakan secara besar-besaran untuk memburu seorang remaja perempuan yang disyaki berjaya melesapkan seutas kalung bertatahkan 30 berlian dan bernilai HK$36 juta (RM16.7 juta).

Akhbar berpengaruh Hong Kong, South China Morning Post pada Sabtu melaporkan, suspek berusia dari 12 hingga 14 tahun dipercayai mencuri permata itu yang mengandungi emas jenis 100 karat dari sebuah kedai barangan mewah di sini pada Khamis.

Remaja itu memakai baju kemeja warna biru dan seluar panjang hitam dibantu lagi dua wanita dan seorang lelaki dewasa berpakaian kemas umur lingkungan 30-an memasuki kedai terkenal Emperor Jewellery di daerah beli-belah popular Tsim Sha Tsui.

Tiga orang dewasa itu berpura-pura mahu berbelanja besar dan sibuk meminta petugas kedai menunjukkan beberapa barangan kemas bagi mengalihkan perhatian ketika remaja tersebut mencuri kunci laci pameran dan terus melarikan kalung berkenaan.Rakaman kamera litar tertutup di kedai itu menunjukkan empat suspek tersebut berada di premis berkenaan selama setengah jam sahaja dan anehnya, petugas seperti dipukau apabila hanya menyedari kehilangan kalung itu beberapa jam kemudian.


Siasatan awal mendapati, kumpulan suspek bergaya tersebut bertutur dalam dialek standard Putonghua dan memasuki premis terletak di dalam kompleks beli-belah 1881 Heritage pukul 3 petang sebelum keluar tanpa membeli apa-apa barangan pun.

Seorang penyelia Emperor Jewellery berusia 63 tahun kemudian menyedari kalung berkenaan hilang dari rak pameran pukul 5 petang dan segera menutup premis sebelum menghubungi polis yang datang bagi menjalankan siasatan lebih lanjut.

Polis Hong Kong menggambarkan remaja perempuan licik itu sebagai bertubuh kurus dengan tinggi 1.4 meter dan memakai baju bertudung warna kelabu bagi menyembunyikan wajahnya daripada dirakam oleh kamera pengawasan kedai tersebut. – Agensi

0 Response to "Remaja Perempuan curi kalung Bertatah Berlian RM16.7j Di buru"

Post a Comment