Isteri Awie syukur dapat jumpa anak semula

Isteri kepada pelakon dan penyanyi rock terkenal Awie, Rozana Misbun melahirkan rasa syukurnya apabila permohonan mengenepikan hak jagaan anak secara sebelah pihak yang diterima suaminya dua bulan lalu diluluskan oleh pihak mahkamah.

Rozana yang hadir ditemani kakaknya yang juga aktres Haliza Misbun lega dengan keputusan yang diumumkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Mohammad Fatah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tadi.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan keputusan ini dan saya harap dapat jumpa anak saya secepat mungkin," ujarnya seperti yang dipetik dari mStar.

Sementara itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, telah diarahkan oleh mahkamah supaya membayar kos sebanyak RM900 kepada Rozana.

Keputusan penuh tentang kes ini bakal diketahui pada pertengahan November nanti. Antara isu berbangkit yang bakal didengarkan dari pihak Awie adalah berkaitan sijil nikah, alamat salah dan beberapa lagi isu lain.

Terdahulu, pada 21 Ogos lalu, Awie telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan isterinya untuk mengenepikan perintah hak jagaan (hadanah) sementara ke atas tiga anak mereka yang diperolehi pelakon "Sembilu" itu pada 21 Julai lalu.

Vokalis kumpulan Wings yang pernah diheret ke mahkamah akibat isu mencederakan isterinya itu mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan terbabit dan berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas anak-anaknya pada 22 Julai lalu.

0 Response to "Isteri Awie syukur dapat jumpa anak semula"

Post a Comment