Zizan Razak Bikin Panas Johan As'ari




 Pelakon Johan As'ari memberitahu dia tetap sayangkan hubungannya dengan  Zizan Razak walaupun pendapatannya sebagai artis bawah Wire Fame Entertainment Sdn Bhd milik pelawak itu disekat.

Johan, 28, bagaimanapun berkata, dia cuma kecewa dengan tindakan Zizan yang mengarahkan bank menyekat akaun syarikat berkenaan kerana perbuatan itu benar-benar menyusahkan kerana Johan memerlukan wang untuk keperluan harian selain melangsaikan bil hospital ibunya yang sedang sakit.

"Sebenarnya saya masih sayangkan dan tidak bencikan dia. Cuma saya tidak suka dengan perbuatan dia yang menyekat akaun syarikat sehingga menyusahkan saya dan rakan artis lain yang bernaung di bawah Wire Fame.

"Sepatutnya sebagai seorang rakan artis dan salah seorang pengarah syarikat itu, dia perlu profesional dan berfikir lebih bijak sebelum membuat tindakan," katanya.

Johan ditemui pada sebuah sidang media khas yang dianjurkan oleh Pengarah Urusan Wire Fame, Marina Juki di hotel Holliday Villa di sini pada petang Khamis.

Terdahulu, Marina telah dituduh menyeleweng wang syarikat tersebut dan Zizan telah menyekat akaun bank syarikat berkenaan.

Perkara itu telah membuatkan Johan dan Kaka Azraf membuat laporan polis di Balai Polis USJ8 Subang Jaya di sini pada 25 Jun lalu mengenai bayaran pendapatan yang disekat.

Sementara itu, Johan memberitahu kontraknya dengan Wire Fame sudah pun tamat pada Mei lalu namun saya akan membuat keputusan menyambung kontrak  berdasarkan pengakhiran masalah syarikat itu sama ada ia selesai secara baik atau tidak.

"Saya nak tengok dahulu macam mana Zizan dan Marina menyelesaikan masalah Wire Fame.

"Kita lihat kesudahan masalah Wire Fame, barulah saya akan memikirkan semula sama ada mahu menyambung kontrak dengan syarikat itu atau tidak," ujarnya.

0 Response to "Zizan Razak Bikin Panas Johan As'ari"

Post a Comment