Pemandu Lori maut terkena dua tembakan



Pistol dan peluru dirampas dilokasi kejadian ,Taman Sentosa ,Klang

KLANG - Seorang pemandu lori maut ditembak dua das selepas terlibat dalam pergaduhan di Jalan Datuk Abdul Hamid 17, Taman Sentosa, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun dikatakan menghadiri majlis kematian bapa saudaranya di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Secara tiba-tiba pegaduhan tercetus membabitkan mangsa dengan kira-kira 15 lelaki sehingga menyebabkan mangsa ditembak dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian selepas dimaklumkan orang awam.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa terkena dua das tembakan di dada, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan selanjutnya.
"Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HTAR.

"Selain itu, dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun yang turut terlibat kejadian dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital sama,"katanya.
Parang yang dipercayai turut digunakan suspek

Kamarul Zaman berkata, siasatan dibuat berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 29 tahun di lokasi kejadian.

Menurutnya, turut dirampas sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson, lima butir peluru termasuk dua yang digunakan sewaktu kejadian, dua bilah parang serta sebuah motosikal jenis Honda EX5.

"Semakan menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan dan pernah ditahan di Simpang Renggam selama dua tahun  mengikut Ordinan Darurat 1969," katanya.

Beliau berkata, punca sebenar pergaduhan sedang disiasat dan usaha memburu saki baki suspek yang terlibat sedang rancak dilancarkan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-SNR

0 Response to "Pemandu Lori maut terkena dua tembakan"

Post a Comment