DVD Bernilai RM1.1 Juta

Sejumlah 204,614 cakera padat video digital (DVD) cetak rompak bernilai lebih RM1.1 juta milik satu sindiket dirampas dalam serbuan di dua rumah di Tasik Prima, Puchong, petang kelmarin.

Dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua rumah berkenaan didapati dijadikan stor dan tempat mencetak DVD berkenaan. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, rampasan berkenaan adalah kejayaan terbesar setakat ini apabila jumlahnya hampir separuh daripada jumlah rampasan keseluruhan pada tahun lalu iaitu sebanyak 413,000 keping. 

“Polis percaya sindiket ini bukanlah baru menjalankan kerja mencetak DVD filem tempatan dan antarabangsa, tetapi dua buah rumah yang digunakan itu baru saja disewa dua hingga tiga bulan lalu.

“Sindiket seumpama ini menjalankan kegiatan mereka secara berpindah-randah dan sering menukar lokasi kegiatan setiap beberapa bulan bagi memastikan perbuatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media IPK Selangor, di sini, semalam.

Katanya, dalam operasi berkenaan juga, polis turut menahan 16 lelaki termasuk 11 warga tempatan berusia antara 21 dan 51 tahun yang bekerja dengan sindiket berkenaan. 

Menurutnya, sebuah daripada dua buah rumah yang diserbu digunakan sebagai tempat percetakan manakala sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan dijadikan pusat penyimpanan. 

Pihak polis turut merampas 44 mesin pencetak DVD, enam unit mesin pencetak dan pengimbas serta satu unit peralatan komputer yang digunakan dalam proses mencetak DVD berkenaan. 

0 Response to "DVD Bernilai RM1.1 Juta"

Post a Comment