Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, mengaku di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin, suaminya Muhammad Noor Farhan, 24, telah menghantar mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepadanya berbunyi "Aku ceraikan kau" dan diikuti "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" pada 9 Mei lalu.
Abby selaku plaintif memberitahu SMS itu dihantar defendan (Muhamad Farhan) kira-kira pukul 10.25 pagi selepas berlaku pertengkaran pada malam sebelumnya kerana suami tidak pulang ke rumah.
"Saya terima SMS itu ketika berada di dalam kereta tetapi saya tak ingat samada saya membalas SMS tersebut atau tidak.
"Kejadian berpunca selepas terdapat perselisihan faham yang berlarutan sehingga dia tidak balik rumah pada malam sebelum dia melafazkan cerai menerusi mesej," katanya kepada mahkamah.
Muhammad Noor Farhan ketika disoal balas oleh Shaiful Azli mengakui ada menghantar SMS berkenaan dan memang berniat untuk menceraikan isterinya itu.
Terdahulu Abby akui terkejut apabila mengetahui suaminya pernah memberitahu seorang kenalan bahawa mereka sudah bercerai.
"Lafaz kali pertama itu tidak dibuat kepada saya tetapi dia memberitahu kepada seorang kenalan bahawa kami sudah bercerai dan apabila saya dimaklumkan mengenai perkara itu saya merujuk perkara berkenaan kepada bapa saudara suami di Kelantan untuk mengetahui sama ada ia sah atau pun tidak.
"Apabila diberitahu lafaz dibuat itu sah kami rujuk secara perbuatan tanpa melaporkannya kepada mahkamah," jelas Abby kepada mahkamah merujuk kepada kejadian yang berlaku pada Januari lepas.
Pasangan itu bagaimanapun meminta nasihat kes itu kepada bapa saudara Muhammad Noor Farhan yang juga defendan dalam kes ini dan mereka kemudiannya melakukan rujuk secara perbuatan tanpa melaporkan kes berkenaan kepada mahkamah.
Sehubungan itu Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin terpaksa menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang dibuat pelakon itu kepada 11 Jun depan bagi membolehkan lafaz cerai kali pertama difailkan.
Sementara itu, Abby ketika ditemui diluar mahkamah memberitahu, dia reda dengan ketentuan terhadap perkahwinannya dengan Muhammad Noor Farhan namun masih berharap ia dapat diselesaikan secara baik.
0 Response to "Kali Kedua Diceraikan Melalui SMS-Abby Abadi"
Post a Comment