JAKARTA - INDONESIA. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ceramah mengenai tamadun dan nilai-nilai Islam di sebuah universiti di Indonesia, pada baru-baru ini.
Dr Mahathir berkata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mempunyai hak untuk menyampaikan kuliah agama kerana beliau sendiri berdepan dengan pelbagai isu moral.
"Kalau nak cakap pasal Islam mesti praktik sekurang-kurangnya, tidak buat yang dilarang oleh agama.
"Saya hairan kerana diterima orang macam ini (Anwar) cakap pasal tajuk yang dia tiada hak sama sekali," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dr Mahathir hairan dengan tindakan penganjur yang sanggup mengundang Anwar untuk memberi ceramah berkaitan agama.
Beliau berkata ramai dalam kalangan pemimpin yang bercakap mengenai Islam tetapi dari segi amalan dan cara hidup mereka berbeza dengan apa yang dituntut oleh agama.
Media Indonesia baru-baru ini, melaporkan Anwar diundang untuk menyampaikan ceramah eksekutif bertajuk 'Nilai-Nilai Islam dan Kebangkitan Semula Ummah Islam' di kampus Universiti Al-Azhar Indonesia. - Bernama
0 Response to "Anwar Ibrahim Tidak Layak Beri Ceramah Agama-Tun Mahathir"
Post a Comment