Sultan Pahang Sah Tarik Diri Tanding Presiden FAM

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengumumkan baginda menarik diri daripada bertanding mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia 


SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menarik diri daripada mempertahankan jawatan presiden pada Kongres Tahunan Ke-50 yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur, Ahad.

Baginda mengumumkan penarikan diri itu bagi  memberi ruang kepimpinan baharu.

"Saya dengan ini menarik diri daripada bertanding bagi jawatan presiden.

"Atas sebab faktor usia, saya membuat keputusan ini dan berharap lebih banyak kejayaan dicapai dalam barisan kepimpinam baharu nanti," jelas baginda dalam ucapan perasmian kongres ini.

Dengan itu saingan rebut jawatan Presiden kini antara Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah & Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

Sementara itu, Bernama melaporkan ketika membuat pengumuman itu, baginda bertitah, ia adalah atas faktor usia dan ingin memberi laluan kepada barisan pimpinan baharu untuk menerajui badan itu. 

Mengakui 30 tahun menerajui FAM sebagai tempoh yang panjang, Sultan Ahmad Shah bertitah baginda telah mencuba sedaya upaya untuk membawa bola sepak negara ke tahap lebih gemilang. 

"Keinginan untuk teruskan hasrat dan harapan ini masih terus membara. Namun, atas sebab usia, hakikatnya bola sepak memerlukan nafas baharu. 
"Atas hakikat ini saya ambil keputusan untuk maklumkan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden hari ini," titah baginda.

Titah Sultan Ahmad Shah, 83, FAM kini memerlukan barisan kepimpinan baharu bagi menentukan masa depan dan hala tuju bola sepak negara untuk menjadi lebih dinamik. Baginda menerajui FAM sejak 1984.

Pengumuman penarikan diri baginda itu menjurus kepada pertembungan satu lawan satu antara anakandanya, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah yang juga timbalan presiden FAM dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Pemenang akan diputuskan menerusi pengundian melibatkan 39 perwakilan daripada 14 persatuan bola sepak negeri yang diberi peluang membuat dua undi untuk setiap satu jawatan (28 undi), serta daripada Angkatan Tentera (2), Polis (2), FA Melayu Malaysia (2), FA Cina Malaysia (2), Majlis Sukan India Malaysia (2) dan Persatuan Jurulatih Malaysia (1).

0 Response to "Sultan Pahang Sah Tarik Diri Tanding Presiden FAM"

Post a Comment