Hospital Terbakar ,21 Maut


Jangseong: Sebuah hospital khusus untuk orang tua di Korea Selatan terbakar awal semalam dan mengorbankan 21 orang, yang mungkin dimulakan oleh seorang pesakit demensia berusia 81 tahun, menurut siasatan awal polis.

Kebanyakan mangsa mati akibat lemas, kata pegawai penyelamat, apabila kebakaran di tingkat atas bangunan tiga tingkat itu menyebabkan bilik-bilik dan koridor dipenuhi asap toksik yang tebal dan melemaskan. 


Seramai tujuh orang cedera, enam daripada mereka berada dalam keadaan kritikal akibat tersedut asap yang berlebihan. 

Kebakaran berlaku selepas tengah malam di sebuah hospis di daerah Jangseong kira-kira 300 kilometer di selatan Seoul.

Pusat berkenaan menjaga hampir 80 warga yang mengalami sakit kronik, kebanyakannya terlantar, termasuk pesakit angin ahmar dan pesakit Alzhemer.

Ketua polis tempatan, Roh Kyoo-Ho berkata seorang pesakit lelaki berusia 81 tahun yang mengalami demensia ditahan selepas rakaman CCTV menunjukkan beliau memasuki bilik penyimpanan, tempat api itu dipercayai bermula.

“Kami memberi tumpuan kepada kemungkinan kebakaran disengajakan,” kata Roh, sambil menambah bahawa lelaki itu, yang hanya dikenali sebagai Kim, menafikan sebarang pembabitan. 
Temui pemetik api

“Kami menemui pemetik api di tempat kejadian dan pakar-pakar forensik sedang menyiasatnya,” katanya.

Walaupun kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit, keadaan fizikal pesakit di tingkat atas menyebabkan mereka gagal menyelamatkan diri secara sendiri sebelum mati akibat asap tebal.

Seorang daripada tiga jururawat yang bertugas mati ketika cuba untuk memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

Ia adalah insiden kematian kedua akibat kebakaran dalam masa dua hari selepas tujuh orang terbunuh dalam kebakaran di terminal bas berhampiran Seoul pada hari Isnin dan ketika warga Korea Selatan masih terasa bahang bencana feri bulan lalu yang meragut nyawa kira-kira 250 kanak-kanak sekolah.

Tragedi amat dahsyat

Ketua pentadbir hospis Jangseong, Lee Hyung-Seok melutut dan menyentuh dahinya ke tanah tanda sesal. “Saya minta maaf. Saya memohon maaf atas tragedi yang amat dahsyat ini,” kata Lee.

Seramai 20 mangsa kebakaran semalam adalah antara 34 orang pesakit yang berada di wad tingkat atas, dan hanya tujuh daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Kedua-dua kakitangan hospital dan anggota bomba menafikan laporan awal bahawa beberapa pesakit masih terikat pada katil mereka. AFP

0 Response to "Hospital Terbakar ,21 Maut"

Post a Comment