Polis telah melupuskan 133,866 barang kes dalam bentuk cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) lucah bernilai RM401,598 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata seramai 40 individu ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan membabitkan rampasan ini dalam tempoh lapan tahun sejak tahun 2004 di sekitar Subang Jaya.
"Sebanyak 71 kertas siasatan telah dibuka dalam masa tersebut melibatkan empat seksyen iaitu Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2002, Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 serta Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987," katanya di sidang media sejurus selesai menyempurnakan acara pelupusan itu.
Menurutnya kejayaan itu adalah hasil gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Subang Jaya menerusi "Ops Vulture" sebagai langkah membanteras penjualan CD,VCD,DVD,cetak rompak dan lucah sekitar Subang Jaya sejak lapan tahun lepas.
Sementara itu, pada pukul 1 pagi 15 Mei lepas, polis berjaya menangkap enam lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 27 tahun di sebuah bilik hotel di Puchong, Selangor berhubung satu kes samun dan ragut di Jalan Tasik Prima, Taman Tasik Prima Puchong sehari sebelum itu.
0 Response to "Bernilai Rm400 Ribu Bahan Lucah Dilupuskan"
Post a Comment