Cadbury hari ini menegaskan yakin terhadap dua produknya yang ditarik balik dari pasaran baru-baru ini berikutan kandungan DNA babi, adalah halal.
“Kami tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa terdapat unsur babi dalam produk kami. Kami mempunyai sijil halal dan memenuhi standard pelabelan tahap tinggi produk,” kata kenyataan yang dikeluarkan, Jumaat.
Pada 24 Mei lalu, Kementerian Kesihatan melaporkan dua sampel coklat Cadbury iaitu Cadbury Dairy Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond, didapati mengandungi DNA babi (porcine).
Kementerian itu berkata ia dikesan mengandungi unsur berkenaan dalam sampel Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok 200813M01H I2 dan dengan tarikh luput 13 November 2014 dan satu lagi dalam sampel Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok 221013N01R I1 yang akan tamat pada 15 Januari tahun depan.
Kementerian itu berkata bagaimana pun tiada sebarang DNA babi dalam sampel Cadbury Dairy Milk Chocolate.
Berikutan laporan itu, Cadbury menarik kedua-dua produk ‘tercemar’ dari pasaran pada Sabtu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kepada The New Straits Times bahawa produk yang tercemar itu ditemui ketika latihan pengawasan secara rawak dan masa selama tiga bulan diperlukan untuk menguji produk.
Dr Subramaniam juga menambah bahawa orang awam berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap kementeriannya ke atas kelewatan mengenal pasti DNA babi.
“Kami perlu tahu jika ia adalah kes pencemaran akibat kemalangan atau jika terdapat bahan tambahan dalam coklat yang tidak dinyatakan dalam label.
“Malangnya, laporan itu telah bocor di media sosial sebelum pengumuman rasmi mengenainya dibuat,” katanya kepada New Straits Times.
Cadbury bagaimana pun memberi jaminan kepada pengguna bahawa tumpuan diberikan untuk menyelesaikan kebimbangan secara proaktif bagi dua kelompok produk Cadbury di Malaysia.
“Kami memahami bahawa isu halal sangat sensitif bagi pengguna dan pentingnya bersikap sentiasa jujur dalam pengeluaran produk kami. Semua produk lain dalam Cadbury Malaysia berstatus halal.”
Cadbury berkata syarikat itu juga dalam rundingan positif dengan pihak berkuasa tertinggi Malaysia dan menunggu keputusan analisis daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap dua produknya.
Jakim bagaimanapun, telah menggantung sijil halal bagi kedua-dua produk berkenaan.
“Tumpuan kami mengenai perkara ini adalah berterusan dan kami mengadakan perjumpaan bersama pihak-pihak berkepentingan serta pemimpin dalam masyarakat Islam untuk meyakinkan mereka bahawa kami membuat produk yang memenuhi keperluan pengguna di Malaysia.
“Kami amat menghargai tindakan positif Majlis Fatwa Kebangsaan yang bekerjasama dengan pengguna bagi membantu membina pemahaman bahawa produk Cadbury masih mengekalkan status halal,” katanya.
“Kami tetap komited dalam mematuhi garis panduan kawal selia halal Jakim, sebagaimana yang ditetapkan dalam Prosedur Manual Pensijilan Halal Malaysia, untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan menggalakkan rakyat Malaysia terus mempunyai mempercayai produk kami” katanya.
Keyataan Rasmi Cadbury
0 Response to "Kami Yakin Produk Kami Masih Halal -Cadbury"
Post a Comment